Kebersamaan Dalam Berpersatuan / Kesatuan.
Kebersamaan merupakan elemen penting dalam usaha mencapai objektif sesebuah organisasi. Hidup berpersatuan mengajar erti kerjasama, perpaduan, dan tidak mementingkan diri. Kita tidak akan mampu hidup berseorangan kerana kebersamaan itu fitrah insani. Sejauh manakah pentingnya kebersamaan dalam berpersatuan?
Sesungguhnya Allah amat mencintai orang-orang yang berjihad di jalanNya di dalam barisan yang teratur seperti bangunan yang kukuh. Sejarah Konstantinopel menceritakan bahawa kegemilangan empayar agung umat Islam di bawah pimpinan Sultan Al-Fateh disebabkan kesatuan pemimpin dan umat Islam ketika itu. Sabda Nabi; “Konstantinopel jatuh di tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera”. Hal ini membuktikan bahawa persatuan dan kesatuan antara pemimpin dan ahli tidak dapat dipisahkan.
Manusia dianugerahkan kelebihan yang berbeza. Ada yang celik IT, petah berkata-kata dan wujud juga golongan pemikir yang mengemukakan idea-idea yang bernas. Kelebihan yang dimiliki harus dimanfaatkan dalam persatuan atau masyarakat di sekeliling kerana bakat yang disia-siakan ibarat permata yang tidak digilap. Oleh itu, kita harus sentiasa bergerak seiringan dalam berkongsi kelebihan dan menampung kekurangan.
Barisan pemimpin dan ahli harus bersepakat memastikan pencapaian yang terbaik dalam persatuan mereka daripada pelbagai sudut. Perpecahan akan berlaku jika tiada kesepaduan. Oleh itu, kita harus memiliki satu fikrah islami yang mantap agar kesepakatan dapat dicapai dalam membuat sebarang keputusan. Bak kata pepatah’ “Sepakat membawa berkat”.
Konklusinya, marilah kita sama-sama memainkan peranan masing-masing dalam memantapkan persatuan kita. Ingat, persatuan memerlukan kesatuan. Sabda Rasulullah S.A.W: “Seorang mukmin bagi seorang mukmin itu seperti sebuah bangunan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain”.
[Selamat menonton video ini]
Credits to Ahsanuzzikraa
Ulasan
Catat Ulasan